ASEAN Bakal Huru Hara Jika Berdiam Isu Rohingya: Najib

March 20, 2018

SYDNEY: Datuk Seri Najib Razak memberi amaran yang rantau ASEAN bakal berdepan huru-hara sekiranya krisis kemanusiaan di wilayah Rakhine, Myanmar, tidak ditangani sewajarnya.

 

Perdana Menteri memberitahu Canberra dan pemimpin ASEAN lain, berdasarkan skala penindasan dihadapi etnik Rohingya serta perpindahan penduduk di wilayah itu, keadaan di wilayah Rakhine tidak boleh lagi dianggap sebagai urusan domestik Myanmar.

 

Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi, turut berada dalam kalangan hadirin pada acara penutup Persidangan Pencegahan Keganasan Sidang Kemuncak ASEAN-Australia ketika Najib menyampaikan pandangan mengenai situasi di Rakhine yang berkemungkinan mencetuskan ancaman keselamatan di rantau itu.

 

Perdana Menteri berkata, masalah itu tidak boleh dilihat dari sudut kemanusiaan saja kerana ribuan penduduk yang hidup dalam kesengsaraan serta tiada masa depan, berkemungkinan menjadi alat radikalisasi dan direkrut kumpulan yang mempunyai kaitan dengan Daesh.

 

"Wilayah itu bukan setakat berpotensi menjadi kawasan panas kepada jenayah rentas sempadan, malah isu lain termasuk keganasan serta pergerakan individu tidak teratur.

 

"Kita perlu berjaga-jaga dan meningkatkan kerjasama kerana kejatuhan wilayah utama Daesh di Iraq dan Syria memaksa mereka bergerak secara bawah tanah dan muncul di tempat lain, terutama kawasan dilanda krisis," katanya.

 

Perdana Menteri berkata, Malaysia sentiasa bersedia membantu mencari penyelesaian yang adil untuk keganasan di Rakhine, seperti mana Kuala Lumpur memberikan kerjasama kepada negara jirannya meneruskan misi keamanan di selatan Filipina dan Thailand.

 

Najib menegaskan, tidak ada satu negara mampu membanteras keganasan secara sendirian, sehubungan itu, beliau menggesa pemimpin kerajaan yang berkumpul di Sydney, untuk meningkat dan memperhebatkan kerjasama bagi mencegah penyebaran ideologi keganasan.

 

Katanya, adalah sangat penting pendekatan efektif dalam mencegah ancaman radikalisasi dan keganasan ektremisme di rantau Asia Pasifik, terus diasah.

 

Pada persidangan itu, pemimpin ASEAN menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) berdasarkan komitmen kolektif setiap kerajaan untuk bersama-sama menangani ancaman pengganas dan keganasan ekstremis.

 

MoU itu ditandatangani Setiausaha Agung ASEAN, Datuk Lim Jock Hoi, dan Menteri Luar Australia, Julia Bishop.

 

Najib berkata, MoU itu bagi memperkukuhkan fokus semua negara terhadap pencegahan keganasan, sivil maritim, keselamatan, pengurusan sempadan, menangani penyeludupan manusia, selain pertukaran informasi dan kepakaran.

 

Kerjasama pencegahan keganasan ASEAN juga akan bekerjasama dengan lebih dekat untuk mengetatkan jerut pembiayaan keganasan.

 

Najib, dalam ucapannya, berkata Malaysia mempunyai rekod yang konsisten dan panjang dalam menangani pengganas dan keganasan fahaman pelampau dan berkongsi dengan negara lain undang-undang serta mekanisme yang digunakan untuk memastikan negara dan rantau ini selamat.

 

Katanya, Kuala Lumpur menggunakan Majlis Keselamatan Negara, Akta Pencegahan Keganasan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) kerana Malaysia bertekad untuk tidak hanya bertindak apabila kekejaman berlaku.

 

"Jika kita inginkan keberkesanan dalam usaha menyelamatkan nyawa, peruntukan perundangan berkaitan perlu digubal bagi menangani tindakan keganasan, berbanding hanya menanti kesannya.

 

"Perundangan ini sudah menyelamatkan banyak nyawa, termasuk rakyat Malaysia dan warga asing. Saya dengan penuh bangga mengatakan bahawa tiada sebarang tindakan keganasan yang pernah berlaku di bumi Malaysia sehingga menyebabkan nyawa terkorban," katanya.

 

Najib turut menyentuh mengenai usaha dirintis Malaysia menerusi Gerakan Kesederhanaan Global yang diketengahkan ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2010, sekali gus menyaksikan penubuhan Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global di Kuala Lumpur, berteraskan matlamat menyemai budaya bagi menangkis elemen keganasan daripada berakar umbi.

 

Selain itu, katanya, Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman di Malaysia ditubuhkan untuk memperbetulkan tanggapan salah di peringkat antarabangsa mengenai Islam dan dakyah berunsur hasutan didalangi Daesh serta pengganas lain yang disebarkan menerusi dalam talian.

 

Najib berkata, kegusaran itu timbul susulan penyebaran propaganda Daesh menerusi dalam talian boleh meresapi lebih 300 juta Muslim di rantau ini.

 

"Pelaksanaan langkah ini selaras matlamat memperkukuhkan semua sumber untuk memberikan naratif sebenar mengenai ajaran Islam, khususnya membabitkan belia dalam memerangi gerakan radikalisasi menerusi dalam talian yang didalangi Daesh," katanya.

 

Ketika memberikan penjelasan kepada seluruh pemimpin ASEAN dan Canberra, Najib berkata, kesatuan dalam berganding bahu menentang ancaman mendatang adalah pemangkin kejayaan terhadap usaha berkenaan.

 

"Contohnya, Ops Redback membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Pasukan Pengawal Sempadan Australia menerusi inisiatif rondaan Selat Melaka, berjaya merapatkan Malaysia, Indonesia, Singapura serta Thailand.

 

"Mekanisme sama turut diterapkan dalam pelbagai strategi membabitkan laluan air seperti di Laut Sulu, di mana pihak berkuasa Malaysia, Indonesia dan Filipina berganding bahu membendung kegiatan penculikan serta lanun di kawasan terbabit," katanya pada ucaptama yang senada dengan rakan setugasnya, Malcolm Turnbull.

Please reload

Featured Posts

Myanmar Masih Nafi Pembersihan Kaum

March 13, 2018

1/10
Please reload

Recent Posts
Please reload

Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square

Kami Bantu Anda Salur Sumbangan Secara Online!

TABUNG ROHINGYA

2124 5760 0213 72

Screen Shot 2019-10-11 at 10.40_edited.j

Bantuan Kecemasan Rohingya merupakan inisiatif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dengan kerjasama  agensi antarabangsa serta NGO tempatan telah menggerakkan misi khas untuk menyalurkan bantuan kecemasan kepada pelarian Muslim Rohingya yang berada dalam keadaan sangat terdesak.

HUBUNGI KAMI

I

Wisma MAPIM Malaysia, No. 25 Jalan Puteri 2A/3, Bandar Puteri Bangi,

Bandar Bukit Mahkota, 43000 Kajang, Selangor, Malaysia.

Screen Shot 2019-10-11 at 10.33.55 AM.pn

I

SUMBANGAN OFFLINE 

Sumbangan kepada projek-projek kemanusiaan MAPIM, tanpa melalui sistem online donation yang telah disediakan, tuan/puan bolehlah menyalin nombor akaun MayBank MAPIM seperti yang tertera di bawah:

Screen Shot 2019-10-11 at 10.40_edited.j
2124 5760 0213 72

Dengan kerjasama:

Apa yang kami nyatakan di web ini adalah benar dan tepat mengikut fakta semasa dan dari ulasan pengalaman sebenar. Pengunjung dinasihatkan menyumbang dengan mengikuti arahan yang disediakan. Namun kami tidak bertanggungjawab jika sebarang masalah/komplikasi berlaku kepada penyumbang di atas projek, program dan bantuan berdasarkan faktor keselamatan, cuaca dan suasana situasi sebenar.

© 2017 by MAPIM. Proudly created for www.tabungrohingya.com