• Berita Harian

Bot Bawa 60 Pelarian Rohingya Dipintas


ALOR SETAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menunda sebuah bot yang membawa 60 orang pelarian Rohingya dari Myanmar ke Markas agensi itu di Bukit Malut, Langkawi.


Difahamkan bot itu ditunda ke Markas berkenaan pagi tadi selepas dipintas di perairan utara berdekatan Pulau Langkawi.


Bot itu dipercayai mempunyai kaitan dengan sebuah bot membawa pelarian Rohingya yang sebelum ini terkandas di Thailand akibat cuaca buruk.


Kumpulan pelarian itu dilaporkan cuba masuk ke Malaysia untuk memohon perlindungan susulan keganasan di tanah air mereka di Myanmar.


Kelmarin, media melaporkan sebuat bot membawa sekurang-kurangnya 56 pelarian Rohingya terkandas di sebuah pulau di Thailand ketika dalam perjalanan ke Malaysia akibat cuaca buruk.


Bot yang sarat membawa penumpang lelaki, wanita dan kanak-kanak itu dipercayai berlabuh seketika di pantai barat Thailand berhampiran wilayah Krabi.


Beberapa gambar menunjukkan pelarian berkenaan ditemubual ketika berlabuh dan diiring kembali ke bot mereka sebelum berlepas.


Gabenor Krabi, Kitibodee Pravitra mengesahkan penumpang bot berkenaan adalah pelarian Rohingya tetapi tidak tahu dari mana mereka datang.

Siaran Terkini

Lihat Semua