• Berita Harian

56 Pelarian Rohingya Ditahan Di Belantik


ALOR SETAR: Semua 56 pelarian Rohingya, termasuk 20 kanak-kanak yang dipintas ketika menaiki sebuah bot di perairan Pulau Langkawi pagi tadi, diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.


Kumpulan pelarian itu diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen sebaik tiba di Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah dari Pulau Langkawi jam 7 petang tadi dengan sebuah kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).


Pengarah Maritim Wilayah Utara, Laksamana Pertama Maritim, Rozali Mohd Said, berkata kapal Maritim Sugul yang tiba pada jam 7 petang tadi membawa 17 wanita dewasa, 12 kanak-kanak perempuan, lapan kanak-kanak lelaki dan seorang lelaki dewasa.


Beliau berkata, 19 lagi lelaki Rohingya dewasa dari kumpulan pelarian itu tiba di Kuala Kedah kira-kira 30 minit kemudian dengan bot kayu yang dipintas oleh pihak berkuasa Malaysia berhampiran Pulau Tuba pagi tadi, sambil diiringi oleh bot APMM dan Polis Marin.


Rozali berkata kesemua pelarian itu yang berusia antara dua tahun hingga 46 tahun, berada dalam keadaan keletihan selepas mengharungi pelayaran yang panjang sebelum bot yang mereka naiki menceroboh perairan Malaysia.


"Setakat ini kita masih menjalankan siasatan dan tidak tahu berapa lama perjalanan mereka disebabkan mereka tidak fasih berbahasa Melayu atau Inggeris.


"Mereka ditemui dalam keadaan keletihan kerana terpaksa mengharungi perjalanan jauh sebelum ditemui di Pulau Nyior Setali berhampiran Pulau Tuba di Langkawi pagi tadi," katanya ketika ditemui di terminal feri di sini, hari ini.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Imigresen Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, kesemua pelarian itu akan dibawa ke pejabat Imigresen di Anak Bukit untuk tindakan lanjut, termasuk mengambil cap jari dan sebagainya, kerana mereka tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan.


"Selepas itu kita akan membawa mereka ke Depoh Tahanan Sementara di Belantik, Sik malam ini juga untuk ditempatkan sementara siasatan selesai," katanya.


Beliau berkata, setakat pihaknya akan menunggu maklumat lanjut daripada pihak APMM sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.


Dalam operasi pagi tadi, pihak berkuasa Malaysia terdiri dari aset Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Polis Marin yang ditugaskan membuat rondaan sejak semalam, memintas bot itu pada kedudukan 0.1 batu nautika dari Pulau Nyior Setali berhampiran Pulau Tuba kira-kira jam 9.30 pagi tadi.


Pihak Maritim Malaysia memberi bantuan awal seperti makanan, minuman serta bantuan perubatan yang diperlukan kumpulan pelarian tersebut sebelum mereka di bawa ke markas Maritim Malaysia di Bukit Malut, Langkawi dan dipindahkan ke Kuala Kedah untuk diserahkan kepada Jabatan Imigresen.

Siaran Terkini

Lihat Semua