• Utusan Online

Aung San Suu Kyi Mesti Letak Jawatan


PHNOM PENH 27 Feb. – Pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Tawakkol Karman mendakwa pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi yang merupakan pemenang anugerah itu sepatutnya cuba menghentikan kekejaman tentera negara berkenaan ke atas etnik Rohingya atau meletak jawatan.


Karman berkata, beliau dan dua lagi pemenang Hadiah Nobel Keamanan amat berang tentang tindakan Suu Kyi dalam menangani isu Rohingya.


“Beliau sepatutnya menceritakan tentang kebenaran atau sebaliknya Suu Kyi perlu meletak jawatan. Jika beliau tetap meneruskan peranan seperti ini, pemimpin itu juga seorang daripada penjenayah,” katanya, di sini semalam.


Karman berkata demikian semasa melawat sebuah kem pelarian bersama dua lagi pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Shirin Ebadi dan Mairead Ma­guire.


Kumpulan hak asasi manusia dan penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengumpulkan bukti tentang kekejaman berleluasa termasuk keganasan seksual, pembunuhan dan pembakaran rumah penduduk oleh pihak tentera dan menyifatkan tindakan tersebut sebagai penghapusan etnik.


Suu Kyi memenangi Hadiah Nobel Keamanan pada 1991 atas peranannya memperjuangkan demokrasi di Myanmar namun gagal mengecam kekejaman dialami etnik Rohingya yang bermula selepas pemisah Rohingya menyerang pos tentera dan polis.


Karman yang memenangi hadiah itu pada 2011 atas peranannya di Yemen berkata, Suu Kyi boleh berdepan pendakwaan antarabangsa bersama pegawai tentera negara terbabit selepas beliau gagal melindungi orang awam.


Jurucakap Suu Kyi bagaimanapun mematikan telefonnya semasa usaha mendapatkan komen ba­las pemimpin tersebut ketika dua pegawai di kementerian luar mendakwa mereka tidak layak menjawab soalan tersebut.


Usaha mendapatkan pegawai tentera Myanmar juga gagal.


Karman sementara itu memberitahu Yayasan Thomson Reuters bahawa beliau telah bercakap dengan 15 orang wanita Rohingya dengan ada antara suami dan anak mereka dibunuh malah mangsa juga turut dirogol tentera.


“Anda tidak dapat bayangkan apa yang telah kami dengar hari ini,” kata Karman. – REUTERS

Siaran Terkini

Lihat Semua