• Sinar Harian

Bukti Pembunuhan Sistematik


eorang penduduk Rohingya menunjukkan bukti kubur besar di barat negeri Rakhine sebelum melarikan diri ke Bangladesh.

YANGON - MYANMAR. Pendedahan agensi berita Associated Press (AP) mengenai penemuan lima kubur besar penduduk Rohingya, membuktikan berlakunya pembersihan etnik secara sistematik oleh tentera Myanmar di barat negeri Rakhine.

Pendedahan itu disahkan selepas agensi itu menjalankan temu bual dengan lebih 40 etnik Rohingya di kem pelarian di Bangladesh dan panggilan video.

Sebelum ini, Kerajaan Myanmar mengakui hanya wujud satu kubur besar mengandungi 10 mayat 'pengganas' Rohingya di kampung Inn Din.


Namun mangsa yang terselamat menafikan kenyataan dikeluarkan Yangon, sebaliknya mendedahkan ramai penduduk termasuk kanak-kanak, wanita serta warga tua dibunuh dan mayat mereka dicampak ke dalam api.

Pelarian memberitahu AP mengenai serangan 27 Ogos lalu, di mana lebih 200 askar menyerbu desa Gu Dar Pyin sambil membawa penyodok.

Askar terbabit juga didakwa membawa asid bertujuan mencacatkan muka dan tangan mangsa bagi menyukarkan proses pengecaman dijalankan.

"Banyak mayat dicampak dalam kubur besar dan bertindih antara satu sama lain," kata Noor Kadir mangsa yang terselamat daripada serangan Ogos tahun lalu.

Kini ada lebih 900,000 pelarian Rohingya di wilayah Cox’s Bazar di Bangladesh, selepas 688,000 melarikan diri daripada kekejaman tentera Myanmar yang memuncak lewat Ogos lalu.

Siaran Terkini

Lihat Semua